OGOS 2024

Ekonomi Hijau Sarawak Buka Peluang Kepada Pelabur


SYDNEY, Australia: Matlamat Sarawak beralih kepada ekonomi hijau dan tenaga mampan membuka landskap dinamik kepada pelabur yang berminat dalam kelestarian dan penyelesaian tenaga diperbaharui.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, malah tenaga diperbaharui turut membuka peluang kepada pelabur yang komited untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada kelestarian pada masa hadapan.

“Sarawak menetapkan matlamat mencapai 10-gigawatt campuran tenaga diperbaharui menjelang 2030 atau ‘102030’,” katanya dalam ucaptama Forum Perniagaan Australia-ASEAN - ‘Sarawak – Kuasa Ekonomi Hijau ASEAN’ di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan, untuk mencapai matlamat itu, Sarawak sedang giat menerokai kaedah inovatif dengan membangunkan potensi tenaga hidro, solar, biomas, bahan bakat mampan dan hidrogen.

Rancangan Sarawak untuk menjadi kuasa ekonomi hijau bermula dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030, katanya dan menambah, seiring dengan matlamat tenaga mampan, Sarawak berada di hadapan dalam ekonomi hidrogen di ASEAN.

Usaha membangunkan ekonomi hidrogen itu menunjukkan kesungguhan Sarawak berinovatif dan menjadi pemacu global dalam tenaga bersih, katanya.

Sarawak, tegas beliau, juga pemain utama Halatuju Peralihan Tenaga Malaysia iaitu membangunkan hub hidrogen hijau kerana memiliki potensi tenaga hidro yang luas.

Ekonomi baharu itu membuka pebagai peluang untuk pelaburan daripada membangun teknologi baharu seperti elektroliser dan sel bahan bakar kepada membangun sistem dan kesepaduan simpanan tenaga.

Sarawak, katanya, bukan setakat membangunkan tenaga mampan dan ekonomi hijau tetapi turut komited mencapai pelepasan sifar karbon.

Dengan membuat pelaburan dalam hidrogen hijau dan tenaga bersih, Sarawak, katanya, bergerak melepasi industri tradisional seperti minyak, gas dan balak.

Sarawak turut mencapai kejayaan meyakinkan di Asia Tenggara apabila memulakan teknologi Penyimpanan, Penggunaan dan Perangkap Karbon (CCUS) dan menjadi wilayah pertama di Malaysia meluluskan undang-undang yang menyokong CCUS dan aktiviti lain berkaitan karbon.

Pindaan ke atas undang-undang itu memberi laluan kepada perdagangan karbon, penyimpanan karbon dan pengurusan hutan Sarawak secara mampan.

Justeru, beliau mempelawa semua pihak mengukuhkan hubungan Australia-ASEAN dan berkongsi dengan Sarawak dalam inovasi dan kolaborasi ekonomi.